Pages

Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan telah ditubuhkan pada tahun 1955 di atas sebidang tanah yang terletak di Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat. Tanah tersebut dibeli daripada Tuan Haji Jaafar bin Ain yang merupakan pemilik tanah.

Pembinaan sekolah ini mendapat kerjasama daripada penduduk setempat yang sama-sama menyumbang tenaga dan wang ringgit bagi memastikan projek yang ingin dilaksanakan berjalan lancar. Dalam projek yang dirancang, penduduk telah melantik Cikgu Haji Jasmon bin Md. Said selaku Pengerusi dan Tuan Haji Kamaluddin dilantik sebagai Penaung. Tanah yang dibeli adalah daripada sumbangan penduduk yang telah sama-sama membantu menderma dengan ketetapan bayaran RM5.00 setiap orang berdasarkan kepada setiap ekar tanah yang dimiliki. Hasil sumbangan derma ini, penduduk telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM3000.00.

Diatas sebidang tanah yang telah dibeli tersebut, penduduk bersama-sama bergotong-royong mendirikan sebuah bangunan kayu yang mempunyai empat bilik darjah. Selain itu, sebuah rumah untuk guru besar turut dibina. Proses pembinaan ini memakan masa sehingga lima bulan untuk disiapkan.

Sekolah ini telah diberi nama Sekolah Kebangsaan Seri Pengkalan oleh Allahyarham Tuan Syed Esa. Nama ini sesuai kerana Parit Kuda ketika itu merupakan sebuah pengkalan untuk mengangkut batu dari Minyak Beku bagi pembinaan jalan raya Batu Pahat – Muar.

Tuan Haji Ayub bin Harun telah dilantik sebagai Guru Besar pertama bagi sekolah ini. Beliau dibantu oleh empat orang guru dan Jemaah Pengurus dimana pengerusinya ketika itu ialah Allahyarham Wakit bin Ibrahim. Sehingga kini seramai sepuluh orang guru besar telah dan sedang memberikan khidmat di sekolah ini. Murid-murid yang belajar di sekolah ini terdiri daripada anak-anak penduduk Kampung Parit Kuda, Kampung Parit Sangit, Kampung Parit Bisu, Kampung Parit Sidek dan Kampung Parit Sempadan dalam Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat.

kelas.jpg

Bangunan bilik darjah yang dibina pada tahun 1968

Seiring dengan peredaran zaman dan pertambahan bilangan murid, beberapa bangunan baru telah dibina dari semasa ke semasa. Pada tahun 1968, sebuah bangunan baru yang mempunyai tiga bilik darjah telah dibina bersebelahan dengan bangunan asal. Pada tahun 1990 pula, bangunan asal yang dibina oleh penduduk telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan tiga tingkat. Selain itu, bangunan kantin turut dibangunkan dihadapan bangunan baru tiga tingkat tersebut.



3tingkat.jpg








Bangunan sekolah 3 tingkat

Peruntukan yang diperoleh membolehkan bangunan makmal komputer dibina pada tahun 2001. Makmal ini mula beroperasi pada tahun 2002 yang menempatkan 11 buah komputer, sebuah projektor, sebuah pengimbas, sebuah pencetak dan sebuah pelayan. Bangunan pra sekolah dan taman permainan pula dibina pada akhir tahun 2006 bersebelahan makmal komputer.





makmal.jpg

pra.jpg




Bangunan Makmal Komputer

Bangunan Pra Sekolah - Pengkalan Permata

Sunday, March 21, 2010

Pengertian Mengulangkaji
Mengulangkaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru.

BAGAIMANA MENGULANGKAJI?
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:

  1. Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
  2. Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
  3. Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
  4. Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
  5. Menjawab soalan-soalan yang berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.
  6. Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.
Pelajar-Pelajar Sekolah Di Kudat, Sabah sedang membuat kerja berkumpulan dalam Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar yang dikendalikan oleh Taidin Suhaimin pada tahun 2007.

Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.

Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.

Merancang Program Mengulangkaji

  • Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
  • Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.
  • Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
  • Ulangkaji dengan cermat setiap mata pelajaran.
  • Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar.
  • Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
  • Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
  • Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
  • Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.
  • Pembahagian Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji

    Mata Pelajaran Yang Anda Lemah

    • Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa.
    • Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
    Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
    • Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
    • Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda.
    • Bila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
    Menilai Keupayaan Anda
    Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.

    Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.

    1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan
    Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.

    2. Penilaian Dari Contoh Jawapan
    Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya.

    3. Penilaian Secara Lisan
    Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.

    Mengatasi Kelemahan

    Mencari Sebab (Post-Mortem)
    Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.

    Sebab-sebab kesalahan berlaku:

    Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.
    Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.

    Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.
    Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.

    Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami.
    Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.

    Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari.
    Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.

    Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
    Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.

    Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:-

    • Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
    • Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah.
    • Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
    • Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.

    0 comments:

    Post a Comment